
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nad ir Al-Nuri Kamaruzaman mengesaahkan semua sukarelawan Malaysia di bawah panji Sumud Nusantara dalam keadaan sangat baik walaupun wujudnya beberapa siri serangan terhadap bot Global Sumud Flotila (GSF).
Beliau yang mengetuai Sumud Nusantara berkata sukarelawan berkenaan telah bersedia sejak awal untuk mengorbankan apa sahaja agar dapat sampai ke bumi Gaza.
“Cabaran yang mereka lalui semalam adalah sangat kecil jika nak dibandingkan dengan apa yang telah mereka sedia korbankan.
“Pada masa sama, kita juga mengambil langkah berjaga-jaga untuk mendekati perairan Greece sekiranya diperlukan bantuan atau serangan lebih buruk berlaku pada malam ini, maka kita boleh mendapatkan bantuan dari pengawal pantai dan kerajaan Greece,” katanya.
Nadir turut mengesahkan peserta yang menyertai konvoi GSF juga telah diberi jaminan perlindungan daripada Tentera Laut Itali.
“Ini semua adalah hasil daripada apa yang berlaku semalam dan juga tekanan yang berterusan masyarakat antarabangsa. Ini adalah sesuatu yang kita sangat hargai dan impak daripada apa yang telah kita laksanakan,” katanya.