Sudan bergolak, mayat bergelimpangan

Foto AP

KHARTOUM: Video aktivis tempatan menunjukkan seorang pejuang yang terkenal kerana menembak orang awam di kawasan dikuasai RSF, melepaskan tembakan dari jarak dekat ke arah sekumpulan orang awam tidak bersenjata yang duduk di tanah.

Satu lagi rakaman yang dikongsi aktivis prodemokrasi pula menunjukkan puluhan mayat bergelimpangan di tanah berhampiran kenderaan yang terbakar.

Inilah gambaran pembunuhan beramai-ramai bermotifkan etnik dan kekejaman lain yang muncul dari bandar El-Fasher selepas kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF), menawan bandar itu di wilayah Darfur, barat Sudan hujung minggu lalu.

Dalam satu kenyataan semalam, Pasukan Bersatu (Joint Forces) yang berpihak kepada tentera Sudan menuduh RSF membunuh lebih 2,000 orang awam tidak bersenjata dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

Makmal Penyelidikan Kemanusiaan Universiti Yale yang memantau perang di Sudan menggunakan risikan sumber terbuka dan imej satelit, berkata pihaknya menemui bukti yang konsisten dengan kejadian pembunuhan beramai-ramai oleh RSF.

Makmal itu menyatakan bandar El-Fasher ‘dilihat sedang mengalami proses pembersihan etnik yang sistematik dan disengajakan terhadap masyarakat asal bukan Arab seperti Fur, Zaghawa dan Berti, melalui pengusiran paksa dan hukuman mati tanpa perbicaraan’.

Ia turut melaporkan berlaku ‘operasi pembersihan dari rumah ke rumah’ di bandar berkenaan.

Pengarah Eksekutif Makmal Yale, Nathaniel Raymond, berkata bukti satelit menunjukkan terdapat mayat bergelimpangan di tanah serta perubahan warna tanah yang kelihatan kemerahan.

Beliau membandingkan tahap keganasan di bandar itu dengan 24 jam pertama pembunuhan beramai-ramai di Rwanda. Kita baru berada di permulaan gelombang keganasan.

“Saya tidak pernah menyaksikan tahap kekejaman seperti yang berlaku sekarang. Ia hanya boleh dibandingkan dengan gaya pembunuhan seperti di Rwanda dalam tempoh 24 jam pertama,” katanya.