
KUALA LUMPUR: The Voice of Hind Rajab adalah filem wajib tonton yang menonjolkan kekejaman rejim Zionis menyeksa penduduk di wilayah Palestin yang bergolak itu.
Filem itu mengangkat peristiwa sebenar seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Gaza bernama Hind Rajab yang berdepan detik getir di antara hidup dan mati susulan kekejaman dilakukan rejim terbabit.
Dibikin dalam bentuk penceritaan mendebarkan, filem ini memfokuskan usaha sekumpulan sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang bertungkus-lumus mencari celah harapan demi menyelamatkan satu nyawa.
Berdurasi 89 minit, The Voice of Hind Rajab sarat dengan elemen rohani dan nilai kemanusiaan menyentuh jiwa, malah, menjadi ruang yang mampu membuka mata penonton terhadap realiti sebenar konflik di Gaza.
Malaysia menjadi antara 20 negara yang mendapat hak tayangan filem ini dan peluang ini wajar dimanfaatkan masyarakat, selain sesuai dijadikan tontonan seisi keluarga dalam usaha memberi pendidikan melalui tontonan filem berimpak sebegini.
Bagi yang ingin memahami lebih dekat gambaran kekejaman rejim Zionis yang diterjemahkan melalui medium seni, The Voice of Hind Rajab hadir sebagai pilihan tepat dan berkesan.
Keupayaan naskhah ini bermain dengan emosi penonton wajar dipuji, apatah lagi, keseluruhan penceritaan tertumpu dalam satu ruang terhad dan diperkukuh dengan penggunaan rakaman suara sebenar perbualan antara Allahyarham Hind Rajab dan sukarelawan terbabit.
Selain itu, klip rakaman sebenar serta pemilihan pelakon yang memiliki rupa paras iras sukarelawan sebenar berjaya membawa penonton merasai sensasi realistik dan keaslian penceritaan keseluruhannya.
The Voice of Hind Rajab meraih pengiktirafan pada peringkat antarabangsa apabila memenangi Silver Lion Grand Jury Prize di Venice International Film Festival 2025, selain tersenarai dalam kelompok Top 15 Best International Feature Film pada Anugerah Akademi (Oscar) ke-98 tahun ini.