
LONDON: Dunia digital yang dikuasai kecerdasan buatan (AI), sering menjadikan sempadan di antara realiti dan rekaan semakin kabur.
Video rekaan stadium “di atas pencakar langit” yang memaparkan Neom Sky Stadium di Arab Saudi tular di seluruh dunia dan meraih 50 juta penonton.
Ia digambarkan sebagai stadium pertama di dunia yang dibina 1,000 kaki dari aras tanah dengan kapasiti 46,000 penonton dan bakal menjadi salah satu daripada 15 venue Piala Dunia 2034 di Timur Tengah. Empat daripadanya sudah siap dibina.
Apabila Arab Saudi menjanjikan stadium “luar biasa” selepas dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia pada Disember lalu, ramai penyokong teruja apabila video yang dianggap “rekaan rasmi” itu mula beredar, seolah-olah membuktikan janji berkenaan.
Namun, video yang memukau itu langsung tidak dihasilkan oleh kerajaan Arab Saudi mahupun syarikat pemaju Neom.
Sebaliknya, ia direka dalam masa hanya dua minit oleh seorang lelaki British bernama Liam Hawes, 34 tahun, dari East Sussex – ketika dia sedang berbaring di atas katil sebelum tidur.
Hawes memuat naik video berkenaan ke halaman Facebook miliknya, “Hypora Ultraworks”, dan tidak menyangka ia akan tular sehingga ke seluruh dunia.
Sejak akaun itu diwujudkan awal bulan ini, video-videonya yang berbentuk konsep seni bina futuristik sudah mencecah hampir 350 juta tontonan. Namun, dia mengakui tidak memperoleh sebarang pendapatan kerana kandungan berkenaan tidak boleh dimonetisasi di Facebook.
“Itu sesuatu yang gila. Dua minggu lalu saya bermain telefon sebelum tidur dan tiba-tiba terlintas idea itu. Saya hasilkan konsep berkenaan dan sebelum sedar, ia sudah tersebar ke seluruh dunia.
“Pada awalnya lebih 13,000 orang berkongsi, selepas itu memang tiada siapa dapat hentikan,” kata Liam kepada Daily Mail Sport pada Khamis.