
KUALA LUMPUR: Semua masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan untuk mengadakan solat hajat hari ini, bagi mendoakan keselamatan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata solat hajat itu juga bertujuan mendoakan misi kemanusiaan GSF sentiasa dipelihara oleh Allah, diberikan kesejahteraan serta dipermudah segala urusan.
“Seperti yang sedia maklum, beberapa organisasi dalam negara menyertai misi kemanusiaan ini bermula 31 Ogos lalu.
“(Justeru), Saya menggesa rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan misi Global Sumud Flotilla, sebuah misi kemanusiaan yang memberikan sokongan kepada Palestin diberikan kemudahan dan keselamatan,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.
Beliau berkata, misi kemanusiaan itu yang didukung oleh komuniti antarabangsa adalah perjuangan mulia demi kemerdekaan Palestin.
“Sesungguhnya, apa jua inisiatif dan ikhtiar bermatlamat meringankan kesengsaraan umat Palestin pada masa kini mesti diberi dukungan oleh semua pihak, khususnya umat Islam,” katanya.