
JAKARTA: Rumah Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia, Ahmad Sahroni dimusnahkan oleh masyarakat setempat susulan kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh ahli politik itu.
Gelombang demonstrasi rakyat mengkritik prestasi serta dasar DPR di Indonesia yang memasuki fasa baharu dan lebih agresif kini tidak hanya tertumpu kepada bangunan Parlimen dan kemudahan awam lain, malah turut menyasarkan kediaman Sahroni di Tanjung Priok, Jakarta Utara pada Sabtu.
Ia susulan Sahroni sebelum ini menggelar pihak yang menyeru pembubaran DPR (Parlimen Indonesia) sebagai ‘orang tolol sedunia’.
Sahroni adalah ahli politik dari parti NasDem dan beliau menjadi politikus paling dibenci di negara jiran itu ketika ini.
Beratus-ratus penunjuk perasaan menyerbu kediaman ahli DPR itu di Tanjung Priok.
Ketika kejadian, orang ramai menyerbu rumah Sahroni dan mereka tidak membuang masa dengan terus memecahkan pagar dan kemudiannya masuk ke dalam rumah.
Rumah terbabit musnah dan beberapa barangan bernilai tinggi diambil oleh beberapa individu yang berada di tempat kejadian.