Serangan Amerika ke atas Iran Boleh Diklasifikasi Jenayah Perang, Kata Pakar

Foto Reuters

WASHINGTON: Lebih 100 pakar undang-undang antarabangsa menyatakan serangan Amerika Syarikat ke atas Iran berpotensi diklasifikasikan sebagai jenayah perang, susulan ancaman berterusan oleh Presiden Donald Trump terhadap negara itu.

Mereka sudah pun menandatangani surat terbuka menyatakan serangan negara itu ke atas Iran mungkin boleh ditakrif sebagai jenayah perang.

Ia selepas Presiden Donald Trump mengulangi ancamannya minggu ini untuk menyerang loji janakuasa dan loji penyahgaraman Iran.

Trump, yang sebelum ini memberikan garis masa dan objektif yang berubah-ubah bagi perang itu, memberi kata dua itu dalam ucapan yang disiarkan di televisyen kelmarin.

Katanya, konflik boleh meningkat sekiranya Iran tidak memenuhi tuntutan Washington, dengan serangan ke atas infrastruktur tenaga dan minyaknya berkemungkinan dilaksanakan secara besar-besaran.

Lebih 100 pakar undang-undang antarabangsa di Amerika, termasuk dari institusi seperti Harvard, Yale, Stanford dan University of California, menyuarakan pendapat itu dalam surat yang dikeluarkan semalam.

Mereka menegaskan, tindakan pasukan Amerika dan kenyataan pegawai kanan negara itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai pelanggaran undang-undang.

Ia termasuk undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk potensi jenayah perang.

Surat itu turut menekankan kenyataan Trump pada pertengahan Mac apabila beliau berkata Amerika mungkin melancarkan serangan ke atas Iran ‘sekadar untuk suka-suka’.

Pakar turut menyatakan kebimbangan terhadap serangan yang memusnahkan sekolah, kemudahan kesihatan dan rumah, sambil merujuk kepada serangan ke atas sebuah sekolah di Iran pada hari pertama perang.