
OVIEDO: Golongan bawah umur 16 tahun akan dilarang daripada mengakses platform media sosial sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperketatkan kawalan selia, lapor Anadolu Ajansi.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez Selasa lalu.
“Kami akan melindungi mereka daripada dunia digital yang tidak terkawal.
Rangkaian sosial telah menjadi sebuah negara gagal, apabila undang-undang diabaikan dan jenayah dibiarkan,” katanya.
Beliau berkata, platform akan diwajibkan untuk memperkenalkan langkah pengesahan umur bagi tujuan akses.
Sanchez berkata kerajaan akan meluluskan rang undang-undang minggu depan, yang akan meletakkan liabiliti jenayah ke atas eksekutif platform digital bagi penyebaran kandungan haram.
Beliau turut menggesa pendakwa raya untuk menyiasat kandungan haram di platform berkenaan.
Beliau menambah bahawa Sepanyol akan menjadikan manipulasi algoritma sebagai satu kesalahan jenayah.
“Maklumat palsu tidak muncul begitu sahaja,” katanya.
Sanchez memetik contoh aktiviti yang didakwa sebagai jenayah, termasuk dakwaan bahawa pornografi kanak-kanak dicipta menggunakan alat kecerdasan buatan Grok atau disebarkan di platform media sosial lain.