
MINNEAPOLIS: Kemarahan rakyat Amerika Syarikat terhadap Presiden Donald Trump semakin memuncak apabila jutaan membanjiri jalanan di seluruh negara pada Sabtu untuk membantah pentadbiran autoritarian, dasar imigrasi yang keras serta peperangan dengan Iran.
Penganjur perhimpunan mendakwa sekurang-kurangnya lapan juta peserta berkumpul di lebih 3,300 acara meliputi 50 negeri, merangkumi kawasan bandar besar hingga ke pelosok pekan kecil, meskipun pihak berkuasa persekutuan tidak mendedahkan sebarang anggaran rasmi jumlah kehadiran.
Gerakan besar-besaran ini menandakan kali ketiga rakyat Amerika turun ke jalanan dalam tempoh kurang setahun di bawah gerakan ‘No Kings’.
Gerakan itu kini menjadi saluran penentangan paling lantang dan nyata terhadap Trump sejak penggal kedua kepimpinan beliau bermula pada Januari 2025.
Sementara itu, Pentagon sedang membuat persiapan bagi operasi darat terhad selama beberapa minggu di Iran, yang berpotensi merangkumi serbuan ke Pulau Kharg serta kawasan pesisir berhampiran Selat Hormuz.
Menurut pegawai Amerika Syarikat (AS) yang dipetik akhbar The Washington Post, pelan itu, yang tidak babitkan pencerobohan berskala penuh, mungkin merangkumi serbuan pasukan operasi khas dan anggota infantri konvensional.