
WASHINGTON: Dua puluh lima negeri Amerika Syarikat memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump semalam, mencabar keputusan kerajaan bahawa ia tidak mempunyai kuasa untuk menggunakan dana kecemasan bagi mengekalkan bantuan makanan kepada jutaan rakyat Amerika bulan depan, lapor Xinhua.
Mereka dari dari California, New York serta District of Columbia mengumumkan bahawa mereka menyaman Jabatan Pertanian Amerika (USDA) kerana menggantung faedah di bawah Program Bantuan Makanan Tambahan (SNAP) secara tidak sah ketika penutupan kerajaan persekutuan yang sedang berlangsung.
Saman di mahkamah persekutuan yang difailkan di Massachusetts itu memohon agar hakim menyekat perintah pentadbiran sebelum ini yang mengarahkan negeri-negeri menggantung faedah dan memerintahkan USDA menggunakan semua sumber yang ada untuk meneruskan pemberian faedah SNAP pada November.
“Jutaan rakyat Amerika bakal berdepan kelaparan kerana kerajaan persekutuan memilih untuk menahan bantuan makanan yang diwajibkan di bawah undang-undang untuk diberikan,” kata Peguam Negara New York Letitia James dalam satu kenyataan.