Russia lancar serangan udara terbesar ke atas Ukraine

Foto Reuters

KYIV: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, termasuk seorang bayi ketika Russia melancarkan serangan udara terbesarnya di Ukraine semalam.

Serangan terbesar sejak perang bermula ke atas Ukraine itu mengakibatkan bangunan kerajaan utama di pusat pentadbiran Kyiv terbakar.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata serangan dron dan peluru berpandu itu membunuh empat orang serta menyebabkan kerosakan di utara, selatan dan timur negara itu, termasuk di bandar Zaporizhzhia, Kryvyi Rih dan Odesa, selain wilayah Sumy serta Chernihiv.

“Pembunuhan sebegini, ketika diplomasi sebenar sepatutnya sudah lama dimulakan, adalah satu jenayah yang disengajakan dan pemanjangan perang,” katanya di platform X.

Beliau sekali lagi merayu kepada sekutunya supaya memperkukuhkan pertahanan udara Ukraine.

Di lokasi lain di Kyiv, pangsapuri kediaman turut terkena serangan, memaksa penduduk keluar ke jalan dalam keadaan berselimut, meninjau kerosakan rumah mereka sementara pasukan penyelamat memadamkan kebakaran.

Serangan itu menambahkan rasa putus ada di Ukraine dan dalam kalangan sekutu bahawa perang boleh ditamatkan pada masa terdekat.