
ANKARA: Majoriti rakyat Amerika Syarikat menentang tindakan ketenteraan semasa terhadap Iran dengan 62 peratus berpendapat pentadbiran Presiden Donald Trump tidak memberikan penjelasan jelas mengenai serangan itu, lapor Anadolu Ajansi.
Tinjauan nasional baru di Amerika Syarikat itu mendapati lebih separuh rakyat negara itu menolak perang di Iran.
Tinjauan oleh Quinnipiac University mendapati 53 peratus responden menentang serangan yang sedang berlangsung, manakala 40 peratus menyokongnya.
Pengundi daripada Parti Demokrat didapati sangat menentang tindakan ketenteraan itu (89 peratus), manakala penyokong Parti Republikan pula menyokongnya (85 peratus).
Menurut tinjauan itu, 74 peratus responden menentang penghantaran tentera darat Amerika ke Iran, sementara hanya 20 peratus menyokong cadangan itu.
Kebanyakan pengundi menjangka konflik itu akan berlarutan selama beberapa bulan atau lebih lama, dan bukannya berakhir dalam masa terdekat.
Dasar luar Trump menerima 40 peratus kadar kelulusan dan 57 peratus tidak bersetuju.