Qatar Sedia Pelan Tindak Balas Kolektif Serantau l

Foto Berita Harian / Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani

ISTANBUL: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, berkata satu tindak balas kolektif serantau sedang disediakan untuk menghadapi serangan Israel ke atas Doha, sambil menegaskan bahawa perundingan sedang dijalankan bersama rakan Arab dan Islam.

“Akan ada tindak balas dari rantau ini. Tindak balas ini kini sedang dalam perbincangan dengan rakan-rakan serantau yang lain,” kata Al Thani kepada CNN

“Kami berharap tindak balas ini bermakna dan mampu menghalang Israel daripada terus membuli.”

Al Thani turut mengesahkan Doha akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Arab-Islam dalam masa terdekat, bagi menentukan langkah yang akan diambil terhadap serangan Israel, yang telah menyasarkan pemimpin kanan Hamas yang sedang bermesyuarat bagi membincangkan cadangan gencatan senjata oleh Amerika Syarikat.

Beliau menyuarakan kemarahan yang mendalam terhadap serangan itu: “Saya tiada kata-kata untuk menggambarkan betapa marahnya kami terhadap tindakan ini. Ini adalah keganasan negara. Kami telah dikhianati.”

Beliau juga menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai pihak yang menghancurkan harapan terhadap usaha pembebasan tebusan di Gaza dan menggagalkan rundingan gencatan senjata.

“Saya telah bertemu salah satu keluarga tebusan pada pagi hari serangan itu. Mereka bergantung penuh pada usaha mediasi ini. Mereka tiada harapan lain,” kata Al Thani.