Putera Mahkota Saudi, Macron mahu Israel undur sepenuhnya dari Gaza

Foto Hiasan

ISTANBUL: Israel perlu undur sepenuhnya dari Semenanjung Gaza dan melaksanakan penyelesaian dua negara, saran Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Agensi berita Anadolu Ajansi (AA) melaporkan, kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan di Gaza dan usaha menamatkan perang dalam perbualan telefon semalam.

Kedua-dua pemimpin turut menyentuh soal kestabilan di seluruh Asia Barat.

Mereka turut menekankan “keperluan segera untuk meringankan penderitaan kemanusiaan rakyat Palestin,” menurut laporan itu.

Kedua-duanya juga menegaskan kepentingan mengambil “langkah-langkah praktikal ke arah mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh berasaskan penyelesaian dua negara.”

Perjanjian gencatan senjata di Gaza berdasarkan pelan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Perjanjian itu merangkumi pengunduran berperingkat pasukan Israel, pertukaran tahanan, kemasukan segera bantuan kemanusiaan serta perlucutan senjata kumpulan Palestin Hamas.

Gencatan senjata itu menamatkan peperangan berdarah yang bermula pada 8 Oktober 2023, yang menyaksikan serangan Israel yang disokong Amerika mengorbankan lebih 68,000 nyawa serta memusnahkan 90 peratus infrastruktur awam Gaza.