
KUALA LUMPUR: Sanae Takaichi yang dilantik sebagai Perdana Menteri baru Jepun, menerima ucapan tahniah daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menyifatkan pelantikan Takaichi sebagai Perdana Menteri wanita pertama memimpin Jepun itu adalah detik penting dalam lanskap politik negara matahari terbit itu.
“Saya ucapkan tahniah kepada Sanae Takaichi atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Jepun.
“Pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri wanita Jepun pertama adalah satu detik bersejarah dalam arena politik negara itu, menggambarkan keazaman beliau serta evolusi demokrasi Jepun yang semakin matang,” katanya.
Menurutnya, Malaysia amat menghargai Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) dengan Jepun, yang berteraskan kepercayaan, inovasi dan komitmen bersama terhadap kestabilan rantau dan pertumbuhan mampan.
“Saya menantikan kehadiran Perdana Menteri Takaichi ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asean Jepun minggu depan, dengan kedua-dua negara akan terus memperkukuh kerjasama ini,” katanya
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba, atas lawatannya ke Malaysia awal tahun ini, yang disifatkan dapat mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Takaichi, 64, mencipta sejarah apabila muncul wanita pertama memimpin Jepun selepas menerima 237 undi melebihi majoriti daripada 465 kerusi di Dewan Perwakilan.