Pesawat Indonesia Air Transport hilang dari radar

Foto IAT

JAKARTA: Pesawat komersil milik syarikat Indonesia Air Transport (IAT) yang membawa 11 orang dilaporkan hilang dari radar ketika sedang melakukan penerbangan dari Yogyakarta menuju Makassar, petang semalam.

Antara News melaporkan pesawat jenis ATR 42-500 dengan nombor pendaftaran PK-THT itu membawa lapan kru dan tiga penumpang.

Jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) mengesahkan pesawat berkenaan terputus hubungan dengan menara kawalan udara (ATC) ketika melintasi ruang udara Leang-Leang di daerah Maros, wilayah Sulawesi Selatan.

Ketua Seksyen Operasi Basarnas Makassar, Andi Sultan berkata pihaknya menerima laporan kecemasan mengenai insiden itu sebelum menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi terakhir pesawat dikesan.

“Berdasarkan koordinat awal yang diberikan oleh AirNav Indonesia, pesawat dipercayai berada di sekitar kawasan pergunungan kapur di daerah Maros.

“Kami telah menghantar pasukan awal yang terdiri daripada 20 anggota penyelamat ke lokasi bagi memulakan operasi penilaian dan pencarian,” katanya dalam satu kenyataan media.