
DILI (TIMOR-LESTE): Persahabatan puluhan tahun berjuang besama adalah cerminan persahabatan di antara Malaysia dan Timor-Leste yang melangkaui diplomasi rasmi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar mengimbau kembali betapa ramai sahabatnya dari wilayah itu bersama-sama mengharungi ujian dan kesusahan, tidak pernah menjangkakan bahawa satu hari nanti mereka akan duduk bersebelahan untuk merangka platform bersama bagi kerjasama dua hala yang lebih kukuh.
Beliau berkata demikian di majlis makan malam anjuran Presiden Timor Leste, Dr Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmao di sini malam tadi.
Perdana Menteri, yang kini dalam lawatan rasmi dua hari di sini, menyifatkan persahabatan yang utuh itu sebagai asas kepada hubungan erat antara Malaysia dan Timor-Leste hari ini.
“Semangat setiakawan, kasih sayang, dibalas dengan baik. Dan rakyat Malaysia sayangkan Timor-Leste,” katanya.
Sementara itu, Dr José Ramos-Horta menyifatkan lawatan sulung dua hari Anwar sebagai bukti persahabatan utuh antara kedua-dua negara, mengimbau sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia semasa perjuangan Timor-Leste untuk mencapai kemerdekaan.
Beliau berkata perbincangan bersama Anwar adalah membina dan tertumpu pada masa depan termasuk pelaburan Malaysia yang lebih besar dalam perniagaan tani, pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui, serta pendidikan dan latihan vokasional untuk belia Timor-Leste.