
Pengarah Hospital Indonesia di Gaza, Dr Marwan Al-Sultan terkorban bersama ahli keluarganya dalam satu serangan Israel yang membedil kediamana mereka di Tal al-Hawa barat daya Gaza Rabu lalu.
Medical Emergency Rescue Committee, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di Jakarta yang mengendalikan hospital itu mengesahkan kematian Dr Marwan berdasarkan maklumat daripada pasukan tempatan mereka di Gaza.
“Dengan rasa dukacita kami mengumumkan pemergian Dr Marwan dan ahli keluarganya akibat serangan udara yang mengenai kediaman mereka,” kata sukarelawan pertubuhan itu.
Dr Marwan, warga Palestin disifatkan sebagai sangat berdedikasi dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar. Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu.