
SYDNEY: Isu pemain warisan begitu heboh diperkatakan hingga wujud trauma untuk menerima pemain berdarah campuran, namun usaha menjejak bakat berdarah Malaysia yang beraksi di luar negara tetap diteruskan.
Laman penyokong Harimau Abroad di platform X, yang sememangnya dikenali dengan usaha mengesan pemain warisan, berjaya menemui seorang lagi pemain berdarah campuran berpotensi untuk memperkuatkan skuad bolasepak wanita negara.
Laman itu baru-baru ini berkongsi profil Laikha Macwilson iaitu seorang pemain bolasepak wanita yang kini bermain untuk kelab Gold Cost Bond University di Australia.
Laikha bukan sahaja pemain utama, malah adalah ketua pasukan kelab itu dan telah memulakan karier kejurulatihan dengan memegang jawatan sebagai pengendali pasukan wanita Bond University Soccer sejak 2024.
Menariknya, laman rasmi kelab itu baru-baru ini mengumumkan bahawa Laikha akan kembali membimbing pasukan wanita Bond University bagi musim 2025 selepas berjaya membawa kelab itu mencipta sejarah luar biasa musim lalu.
“Selepas membantu pasukan meraih promosi ke Divisyen 1, menamatkan saingan di tempat kedua liga dan mara ke peringkat Grand Final, Laikha kini bersemangat untuk menghadapi musim baharu bersama pasukannya,” kata Bond University di media sosial.
Kecemerlangannya diiktiraf apabila dia dinobatkan sebagai ‘Coach of the Year’ dalam kategori jurulatih komuniti pada Anugerah Queensland Football Gala, menjadikannya antara jurulatih muda wanita paling menonjol di wilayah tersebut.
Lebih membanggakan, Laikha turut mencipta nama apabila memenangi kejuaraan South Coast Senior Women Division 1 tahun 2025 di Queensland, selain aktif dalam arena futsal wanita di peringkat komuniti Australia.
Laikha mengesahkan mempunyai darah Malaysia menerusi ibunya adalah warganegara Malaysia, selain turut mendedahkan bahawa dia ialah adik kepada pelakon terkenal tanah air, Zahirah Macwilson.
“Hai, saya dilahirkan di England tetapi mempunyai darah keturunan Malaysia. Kakak saya ialah Zahirah Macwilson,” katanya menerusi tangkap layar perbualan bersama laman Instagram, Women Football Malaysia.