Pelajar Malaysia tubuh pasukan pertahanan awam di Indonesia

Foto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia

JAKARTA: Untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana alam di kalangan ahlinya, Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) menubuhkan pasukan pertahanan awam sendiri

Presiden PKPMI Pusat, Hans Joshua Peter, berkata pasukan berkenaan, dikenali sebagai “Civil Defence Agency-Emergency Response Team-PKPMI” (CDA-ERT PKPMI), melatih pelajar untuk menyesuaikan diri dengan situasi bencana seperti gempa bumi, banjir dan kebakaran, selain bertindak pantas serta tenang ketika menghadapi keadaan sebenar.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan pelajar di luar negara, tetapi turut menjadikan mereka sebahagian daripada ekosistem pertahanan awam yang diiktiraf Malaysia.

“Fungsi utama CDA-ERT PKPMI ialah melatih dan meningkatkan kesedaran pelajar agar sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang situasi kecemasan, walaupun berdepan bencana tidak dapat dijangka,” katanya.

Indonesia antara negara paling kerap dilanda bencana alam di dunia kerana kedudukannya di Kawasan Lingkaran Api Pasifik.
.
Hans berkata, latihan pengurusan bencana amat penting bagi pelajar Malaysia di luar negara kerana ia bukan sahaja meningkatkan keselamatan diri, tetapi juga membentuk pelajar yang lebih peka, tangkas dan berdaya tahan.

Inisiatif itu dizahirkan menerusi “Student’s Crisis and Disaster Response Conference” selama tiga hari yang berakhir pada 12 Okt di Malaysia n Hall, pusat kegiatan pelajar dan komuniti Malaysia di Jakarta Pusat.

Seramai 22 peserta menyertai program itu yang terdiri daripada anggota CDA-ERT PKPMI dari pelbagai wilayah di Indonesia, serta disokong “Education Malaysia-Indonesia (EMI)” dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.