Peguam saman kerajaan gara-gara cukai haid

Foto IG Mahnoor Omer

LAHORE: Mahnoor Omer, 25, peguam wanita Pakistan memfailkan saman terhadap kerajaan Pakistan di Mahkamah Tinggi Lahore berhubung pelaksanaan ‘cukai haid’ yang didakwanya membebankan wanita dan tidak adil.

Mahnoor, menjadi perhatian umum selepas mencabar kerajaan yang didakwanya melaksanakan cukai tinggi terhadap tuala wanita dan produk kebersihan haid, yang menyebabkan hanya sebahagian kecil wanita di Pakistan mampu membelinya.

Menurut peguam itu, cukai haid 40 peratus itu membebankan 109 juta wanita dan UNICEF pula melaporkan hanya segelintir wanita negara itu mampu membeli tuala wanita dan produk kebersihan haid disebabkan cukai yang tinggi.

Kajian terbaru mendedahkan hanya 16.2 peratus wanita di kawasan pedalaman menggunakan tuala Wanita kerana tidak mampu membelinya.

“Adalah menyedihkan menteri-menteri wanita,penggubal undang-undang dan wanita yang berkedudukan menyokong undang-undang ini tanpa mempersoalkannya,” kata Mahnoor.

Sama ada ia adalah satu kesilapan atau disengajakan, undang-undang itu mesti dipinda, tambahnya.