
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin memberi amaran bahawa dunia kini sedang memasuki era “muflis air global”, lapor Xinhua.
Laporan oleh Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti PBB itu menyatakan bahawa penyusutan air bawah tanah yang kronik, peruntukan air yang berlebihan, kemerosotan tanah, penebangan hutan dan pencemaran, menyebabkan banyak wilayah melangkaui had hidrologi masing-masing.
Laporan itu menyebut, semuanya diburukkan lagi oleh perubahan iklim.
Menurut laporan itu, istilah yang biasa digunakan seperti “tekanan air” dan “krisis air” tidak lagi menggambarkan realiti di kebanyakan kawasan memandangkan sistem air telah beralih ke fasa pascakrisis yang ditandai dengan kehilangan yang tidak dapat dipulihkan serta ketidakupayaan untuk pulih ke tahap sejarah asal.
“Laporan ini mendedahkan kebenaran yang pahit: Banyak wilayah kini hidup melampaui kemampuan hidrologi mereka, dan banyak sistem air kritikal sudah pun muflis,” kata ketua pengarangnya, Kaveh Madani.
Beliau berkata, walaupun bukan semua lembangan sungai dan negara telah mencapai tahap itu, namun sistem utama dunia yang telah melepasi ambang itu sudah mencukupi untuk mengubah landskap risiko global.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa air permukaan dan tanah lembap sedang mengecut dengan pantas. Lebih separuh daripada tasik besar di dunia telah kehilangan air sejak awal 1990-an, sekaligus menjejaskan kira-kira satu perempat daripada penduduk global.