Obor-obor hantu sepanjang bas ditemui

Foto Agensi

BUENOS AIRES: Obor-obor gergasi yang jarang ditemui, dikenali sebagai Stygiomedusa gigantea atau obor-obor hantu gergasi yang boleh membesar sehingga sepanjang sebuah bas sekolah berjaya dirakam oleh saintis di sini.

Kemunculan obor-obor gergasi itu ditemui oleh satu ekspedisi laut dalam di perairan Atlantik Selatan di luar pesisir Argentina.

Dikenali sebagai Stygiomedusa gigantea atau ‘obor-obor hantu gergasi’ ia boleh membesar sehingga sepanjang sebuah bas sekolah.

Rakaman video oleh Schmidt Ocean Institute menunjukkan hidupan laut luar biasa itu berenang pada kedalaman kira-kira 250 meter di bawah permukaan laut, sekaligus mencuri perhatian komuniti saintifik antarabangsa.

Menurut institut berkenaan, spesies itu jarang ditemui dan mempunyai tentakel berwarna merah jambu lembut yang panjangnya boleh mencecah 10 meter, manakala bahagian ‘locengnya’ boleh membesar sehingga satu meter diameter.

Penemuan itu dibuat dalam satu ekspedisi penyelidikan yang diketuai saintis Argentina, meliputi keseluruhan pesisir negara itu dari Buenos Aires hingga ke perairan berhampiran Tierra del Fuego baru-baru ini.