
BRAZIL: Bintang Santos, Neymar dikatakan bakal menerima wasiat bernilai 846 juta pound (RM5.5 bilion) daripada seorang jutawan Brazil yang sudah meninggal dunia meskipun kedua-duanya dilaporkan tidak pernah bertemu.
Menurut laporan media tempatan RIC, wasiat itu difailkan di sebuah pejabat di Porto Alegre dan disahkan pada 12 Jun dengan kehadiran dua saksi.
Bagaimanapun, ia masih perlu mendapat kelulusan mahkamah Brazil sebelum Neymar secara rasmi dinamakan sebagai pewaris tunggal.
Difahamkan, lelaki berkenaan, yang tidak mempunyai anak dan hidup bujang, memilih Neymar kerana merasakan dirinya “mempunyai kaitan peribadi” dengan pemain itu.
Dia dilaporkan mengagumi ikatan kekeluargaan rapat Neymar, khususnya hubungannya dengan ayah, Neymar Sr, yang mengingatkannya kepada mendiang bapanya sendiri.
Sehingga kini, Neymar, 33, masih belum memberi sebarang komen tentang laporan berhubung kekayaan mengejutkan itu.