
LONDON: Aktivis Sweden Greta Thunberg, ditahan di London ketika menyokong tindakan tahanan yang mogok lapar dan dikaitkan dengan Kumpulan Palestine Action.
Kumpulan Prisoners For Palestine memuatnaik video yang menunjukkan aktivis berusia 22 tahun itu ditahan oleh pegawai polis di luar pejabat Aspen Insurance, yang menurut kumpulan itu menyediakan perkhidmatan kepada syarikat senjata Israel, Elbit Systems.
Greta ditahan di bawah Akta Keganasan kerana memegang sepanduk yang tertera tulisan: ‘Saya menyokong tahanan Palestine Action. Saya menentang genosid’.
“Beliau ditahan kerana mempamerkan satu bahan (dalam kes ini sepanduk) yang menyokong sebuah pertubuhan yang diharamkan (iaitu Palestine Action), bertentangan dengan Seksyen 13 Akta Keganasan 2000,” menurut Polis City of London dalam satu hantaran di platform media sosial X.
Beberapa aktivis lain turut menyembur cat merah di bahagian hadapan bangunan berkenaan sebelum mereka ditahan.
Protes itu berlaku di tengah-tengah kritikan yang semakin meningkat terhadap kerajaan berhubung keadaan enam tahanan dikaitkan dengan kumpulan Palestine Action yang melancarkan mogok lapar sejak November.