
ACEH: Penduduk di wilayah Aceh, Indonesia, mula mengibarkan bendera putih di tepi-tepi jalan berhampiran pusat penempatan sementara mangsa banjir sebagai isyarat mereka kini semakin terdesak untuk mendapatkan bantuan makanan dan barang-barang keperluan harian lain.
Selepas hampir tiga minggu banjir besar melanda wilayah ini, ratusan ribu penduduk kini terpaksa bergantung kepada bantuan daripada masyarakat luar daerah dan pemerintah Indonesia setelah kehilangan mata pencarian kerana hampir semua ladang kelapa sawit dan kebun tanaman kontan yang mereka usahakan selama ini, musnah dalam bencana banjir besar ini.
Saban hari sejak 26 November lalu, ribuan penduduk berkumpul di khemah-khemah posko bantuan banjir sambil menunggu sumbangan barang-barang keperluan harian atau dipanggil sebagai sembako iaitu singkatan daripada sembilan bahan pokok keperluan asas harian seperti beras, gula, minyak goreng, daging, telur, susu, bawang, garam, serta gas LPG atau minyak tanah.
Keadaan di hampir kesemua lokasi terjejas banjir bandang di 52 daerah dalam provinsi Aceh kelihatan tidak banyak berubah sejak hari pertama bencana banjir melanda pada 26 November lalu, malah semakin teruk apabila semakin ramai penduduk yang terpaksa berteduh di pusat penempatan sementara yang dibuka di bangunan sekolah, madrasah, masjid dan klinik kesihatan.
Wakil Channel10, Othman Mamat, sempat meninjau ke beberapa lokasi yang terjejas banjir termasuk di desa Geudumbak dalam Kecamatan Langkahan di Aceh Utara untuk menyaksikan kemusnahan berlaku akibat banjir yang dikatakan terbesar sejak 50 tahun lalu.
Semantara itu, Humanitarian Care Malaysia atau MYCARE bersama rangkaian pasar raya besar ECONSAVE Cash and Carry, semalam menyerahkan sumbangan iaitu kanvas untuk membina khemah tempat tinggal sementara kepada 300 keluarga di Desa Geudumbak.
Selain itu, MYCARE dan Econsave turut berganding bahu dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Islamic Relief Indonesia, membuka sebuah dapur umum untuk menyediakan makanan panas kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Menaksah atau Madrasah Gampung Geudumbak, Langkahan.
Dapur umum itu akan menyediakan 200 hidangan makanan panas setiap hari selama 10 hari bermula semalam.