Malaysia Kutuk Serangan Israel Sasar Qatar

Foto Fail

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas ibu negara Qatar, Doha malam semalam.

Tindakan pencerobohan itu, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

“Ia secara melulu membahayakan nyawa orang awam, menyerang di tengah-tengah ibu kota berdaulat dan mengancam untuk memusnahkan kawasan yang sudah pun hampir musnah,” katanya menerusi Facebook beliau.

Dengan menyasarkan Qatar, sebuah negara yang menjadi pusat pengantaraan dan dialog di Timur Tengah, Anwar menyatakan bahawa Israel sudah menunjukkan penghinaan terhadap keamanan dan diplomasi.

“Serangan sedemikian adalah tidak dapat dipertahankan dan tidak boleh diterima. Malaysia berdiri dalam solidariti penuh dengan Qatar dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk meminta Israel bertanggungjawab atas pencerobohan keterlaluan ini,” katanya.

Malam tadi, media antarabangsa melaporkan beberapa letupan kuat menggegarkan Doha, tidak lama selepas Israel mendedahkan kepada The Associated Press (AP) bahawa pihaknya menyasarkan pemimpin Hamas di Doha.