Maklumat Perang Iran dihad, Pentagon gaduh dengan media

Foto Reuters

WASHINGTON: Pentagon berantakan dengan media arus perdana Amerika Syarikat yang dilaporkan tidak mempunyai akses banyak mengenai perang Iran.

Media mendakwa keadaan berbeza ketika menyertai operasi sewaktu perang di Iraq dan Afghanistan, di mana maklumat terperinci diberikan hampir setiap hari’

Sepanjang perang Iran, laporan oleh Pentagon kepada media dilihat dipenuhi retorik, kurang butiran operasi dan konfrontasi terhadap media arus perdana yang cuba mengemukakan persoalan mengenai konflik itu.

Tentera Amerika dilihat mengambil pendekatan yang jauh berbeza dalam berkomunikasi sepanjang konflik Iran.

“Pentagon mengeluarkan maklumat yang jauh lebih sedikit dan kurang kerap berbanding sebelum ini dan maklumat yang dikeluarkan itu juga… kurang penjelasan,” kata Steve Warren, yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam hal-ehwal komunikasi awam, juga bekas kolonel Tentera Darat Amereka.

Beliau berkata, ketika perang di Iraq, Afghanistan dan operasi menentang kumpulan DAESH, tentera Amerika kerap mengadakan taklimat media dan mempunyai ‘unit komunikasi khusus yang diberi kuasa untuk berpegang kepada prinsip pendedahan maksimum serta kelewatan minimum’.

Namun, keadaan itu tidak terjadi dalam konflik semasa, dengan beberapa persoalan penting seperti sama ada Amerika bertanggungjawab terhadap serangan maut ke atas sebuah sekolah rendah di Iran serta rancangan Washington selepas perang di negara itu juga masih belum dijawab.

Setiausaha Akhbar Pentagon, Kingsley Wilson, menafikan perkara itu dan menyatakan, ‘media sudah menerima jumlah maklumat yang sangat banyak daripada Pentagon, sama ada mereka mahu mengakuinya atau tidak’.