Mahkamah hukum mati bekas PM Bangladesh

Foto Fail

DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan, Sheikh Hasina dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah di Dhaka atas tuduhan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dalam perbicaraan yang diadakan tanpa kehadirannya.

Hasina yang kini hidup dalam buangan di India, didakwa melakukan jenayah terhadap kemanusiaan apabila mengarahkan atau gagal menghalang pembunuhan besar-besaran dalam insiden protes antikerajaan ditunjangi pelajar tahun lalu.

Ketika membacakan keputusan di mahkamah, Hakim Golam Mortuza Mozumder berkata: “bekas Perdana Menteri yang dituduh melakukan jenayah terhadap kemanusiaan itu mengeluarkan arahan menggunakan dron, helikopter dan senjata.”

Hasina sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan mendakwa tribunal terbabit ‘bermotifkan politik’.

Tribunal yang berlangsung berbulan-bulan itu mengadili dan menjatuhkan hukuman ke atas Hasina tanpa kehadirannya berikutan beliau melarikan diri ke India sejak Ogos tahun lalu.