Lebih 700,000 kes influenza, 61 kematian di Thailand

Foto Hiasan

BANGKOK: Wabak influenza menular di Thailand dengan lebih 700,000 kes sejak awal tahun ini dan 61 kematian dilaporkan, menurut Pejabat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (ODPC).

ODPC menasihatkan orang ramai di seluruh negara itu berwaspada semasa peralihan dari musim hujan ke musim sejuk kerana penyakit itu mudah merebak akibat perubahan cuaca.

“Sejumlah 702,238 kes influenza telah direkodkan di seluruh negara setakat ini, dengan 61 kematian, terutamanya dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak kecil.

“Pihak berkuasa menasihatkan kumpulan berisiko tinggi mendapatkan suntikan vaksin selesema tahunan,” katanya.

Pengarah ODPC 9 di Nakhon Ratchasima, Dr Taweechai Visanuyothin, berkata situasi influenza di Thailand menimbulkan kebimbangan, khususnya pada penghujung musim hujan hingga awal musim sejuk.

Beliau berkata dari 1 Januari hingga 8 Oktober 2025, sebanyak 702,238 kes dilaporkan di seluruh negara dengan kadar insiden 1,081.83 bagi setiap 100,000 penduduk, manakala 61 kematian direkodkan bersamaan kadar kematian 0.09 bagi setiap 100,000 penduduk.