
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengarut lagi, kali ini, dia didakwa mahu menubuhkan pangkalan tentera yang besar di Genting Gaza.
Idea Trump itu dianggap tidak masuk akal kerana situasi di enklaf itu masih tidak menentu dan terus dihujani bom Zionis.
The Guardian yang memetik kandungan dokumen ‘Lembaga Keamanan’ untuk Gaza, mendedahkan ia akan berfungsi sebagai ‘pangkalan operasi’ untuk ribuan askar antarabangsa.
“Pelan itu termasuk pembinaan berperingkat pos kawalan tentera. Ia akan dikelilingi 26 menara pengawal berperisai dipasang pada treler, sebuah kawasan latihan senjata ringan, bunker dan gudang peralatan ketenteraan untuk operasi. Seluruh pangkalan itu akan dikelilingi pagar kawat berduri,” jelas laporan itu.
Pangkalan itu bakal dibangunkan di selatan Gaza untuk menempatkan kira-kira 5,000 tentera asing di bawah ‘pelan keamanan’ yang dicadangkan Washington.
Sumber rapat projek itu memaklumkan sekumpulan kecil pembida daripada syarikat pembinaan antarabangsa yang berpengalaman di zon perang telah melawat tapak berkenaan.
Rancangan itu bagaimanapun mula mengundang kritikan banyak pihak.
“Mereka dapat kebenaran daripada siapa untuk membina pangkalan tentera di sana?” soal peguam Palestin-Kanada, Diana Buttu.
Pelan mengarut itu dibongkarkan selepas mesyuarat pertama ‘Lembaga Keamanan’ yang kurang disenangi Hamas.
Pejuang bumi Gaza itu menegaskan sebarang laluan atau perjanjian politik berkaitan Gaza mesti berasaskan kepada langkah menghentikan keganasan Israel.