
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres semalam menyelar masyarakat antarabangsa kerana memejamkan mata terhadap krisis kebuluran yang meluas di Gaza, menyifatkan ia sebagai ‘krisis moral yang mencabar nurani global’.
“Saya tidak dapat jelaskan tahap acuh tak acuh dan tanpa sebarang tindakan oleh terlalu ramai masyarakat antarabangsa. Seolah kurang belas ihsan dan kemanusiaan.
“Ini bukan sekadar krisis kemanusiaan. Ia adalah krisis moral yang mencabar nurani global. Kami akan terus bersuara setiap kali berpeluang berbuat demikian,” katanya menerusi sidang video pada perhimpunan global Amnesty International.
Kumpulan bantuan sebelum ini memberi amaran mengenai lonjakan kes kebuluran, terutama dalam kalangan kanak-kanak di Gaza yang dilanda perang.