
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese, bagi memperkukuh hubungan dua hala serta membincangkan isu keselamatan tenaga susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Pertemuan itu berlangsung sejurus Albanese menerima sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sempena lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia bermula 15 hingga 17 April.
Kedua-dua pemimpin dijangka meneliti perkembangan konflik di Asia Barat dan kesannya terhadap pasaran tenaga global, khususnya risiko gangguan rantaian bekalan serta laluan perdagangan antarabangsa yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi serantau.
Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam keselamatan tenaga, termasuk menjamin kestabilan bekalan, meningkatkan daya tahan infrastruktur serta meneroka peluang dalam tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.
Pertemuan tersebut akan disusuli dengan sesi dua hala melibatkan menteri kanan dan pegawai kedua-dua negara, termasuk menilai kemajuan di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia–Australia yang dimeterai pada 2021.
Australia kekal sebagai antara rakan dagang utama Malaysia, menduduki tangga ke-12 terbesar pada 2025 dengan jumlah perdagangan mencecah RM78.63 bilion. Daripada jumlah itu, eksport Malaysia bernilai RM48.64 bilion manakala import sebanyak RM29.99 bilion.
Dalam aspek tenaga, kedua-dua negara mempunyai hubungan saling bergantung yang kukuh. Australia membekalkan kira-kira 96 peratus import gas asli cecair (LNG) Malaysia, yang penting untuk menyokong rangkaian gas di Semenanjung serta pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara.
Pada masa sama, Malaysia turut menjadi pembekal bahan api utama kepada Australia, merangkumi sekitar 17 peratus daripada jumlah import bahan api negara itu.
— Bernama