Kesepaduan Asean Mesti Terus diraih semula, diperkukuh.

Foto PMO

DILI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Asean yang berpecah hanya akan menjejaskan visi bersama ke arah sebuah rantau yang aman dan makmur.

Beliau berkata, untuk usaha ke arah perpaduan Asean mesti diteruskan, khususnya ketika rantau ini berdepan pelbagai cabaran.

Dalam Syarahan Presiden dan Penerimaan Penganugerahan Grand Collar of the Order of Timor-Leste pada Rabu, Anwar berkata sudah menjadi tanggungjawab Asean untuk mengambil peranan lebih proaktif dalam semua spektrum kerjasama, khususnya dalam bidang politik-keselamatan dan ekonomi yang semakin saling berkait.

Apa yang tidak mampu ditanggung oleh Asean ialah sikap tidak bertindak atau lesu, katanya.

Perdana Menteri berkata, Asean sentiasa berjaya mengatasi cabaran dan melakar kejayaan apabila bergerak bersama.

“Bukan apabila kita saling bertentangan, atau berusaha mengecualikan sesetengah pihak daripada kerjasama dan kemajuan. Kita berjaya bersama atau gagal sama sekali. Saya yakin pendekatan ini berakar pada nilai-nilai yang turut dikongsi di Timor-Leste,” katanya.

Mengenai Timor-Leste, Anwar berkata walaupun negara itu bakal menjadi anggota termuda dan terkecil Asean, ia sama sekali tidak kekurangan tekad untuk turut serta dalam agenda serantau.

“Jalan ini panjang dan berliku. Saya percaya Presiden Ramos-Horta sendiri pernah menyebut beberapa tahun lalu bahawa lebih mudah untuk sampai ke pintu syurga daripada pintu Asean,” ujarnya.