Keramahan di Selat Hormuz berakhir

Foto Reuters

ISTANBUL: Keramahan di laluan Selaat Hormuz berakhir apabila Iran menyatakan transit maritim melalui selat itu akan tertakluk kepada peraturan baru yang ditetapkan oleh Teheran.

Iran sudah menyampaikan syarat berkaitan perang kepada pihak pengantara, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ebrahim Azizi, Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran, berkata di platform media sosial X bahawa laluan melalui selat itu kini bergantung kepada syarat Iran, sambil menyatakan bahawa tempoh berdekad-dekad yang disifatkannya sebagai “keramahan” sudah berakhir.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, pula berkata konflik itu telah memberi kesan langsung terhadap keselamatan serantau, termasuk Selat Hormuz, Teluk Parsi dan Laut Oman, sambil memberi amaran mengenai kesan lebih luas terhadap ekonomi global.

Dalam kenyataan kepada agensi berita Yonhap dari Korea Selatan, Baghaei berkata kapal-kapal milik pihak yang tidak bermusuhan masih boleh meneruskan pelayaran melalui selat itu selepas penyelarasan yang diperlukan dengan pihak berkuasa Iran, sambil menegaskan langkah itu bertujuan memastikan laluan selamat.