
WASHINGTON: Rumah Putih menjadi tempat tidak selesa bagi kebanyakan orang apabila Presiden Donald Trump kembali dengan retorik kosong menerusi ucapan merapu selama 20 minit Rabu lalu.
Pemimpin Republikan itu seolah-olah sudah kehabisan modal untuk bercakap besar mengenai ‘kemenangannya’ dalam konflik di Iran kerana hanya mengulangi ugutan serupa yang ‘dikitar semula’ daripada catatannya di platfrom Truth Social.
Trump dengan bangga menyatakan ‘objektif strategik teras’ kempen pencerobohan Amerika bersama Israel kononnya hampir selesai selepas peperangan itu berlarutan lebih 30 hari.
Tiada butiran jelas, namun beliau kembali menjangkakan operasi ketenteraan akan berlarutan selama dua hingga tiga minggu lagi.
Trump terus memprovokasi Teheran apabila mengugut mahu memperhebatkan serangan ganas ke atas Teheran sebelum menamatkan perang.
Dengan angkuh Trump mengulangi ancaman mahu memusnahkan Iran sehingga kembali ke ‘Zaman Batu’.
Ketika sokongan terhadapnya kian merudum, beliau cuba meyakinkan rakyat Amerika mengenai kebaikan perang itu yang disifatkan sebagai satu pelaburan.
“Ia tidak seberapa berbanding perang lebih lama dan konflik lain sejak seabad yang lalu,” katanya.
Walaupun Trump memberi ucapan mengarut, harga minyak mentah Brent, melonjak sebanyak lima peratus kepada AS$106 setong manakala pasaran saham di Asia turut mula merosot yang jelas menunjukkan kata-katanya umpama api yang membakar.