
Krisis kekurangan zat makanan di Gaza yang dilanda peperangan kini mencapai tahap membimbangkan, dengan puluhan ribu kanak-kanak dan wanita memerlukan rawatan segera, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Keadaan itu berlaku apabila bantuan hanya memasuki wilayah Palestin yang dikepung itu dalam jumlah yang amat terhad.
Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan kepada AFP bahawa pihaknya mencatat peningkatan kematian bayi akibat ‘kebuluran dan kekurangan zat makanan yang teruk’, dengan sekurang-kurangnya tiga kes kematian direkodkan dalam minggu lalu.
“Kes-kes menyayat hati ini bukan disebabkan oleh pengeboman secara langsung, tetapi akibat kebuluran, kekurangan susu formula bayi dan ketiadaan penjagaan kesihatan asas,” kata jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal.