
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menghargai keputusan Iran membenarkan kapal minyak Malaysia melalui Selat Hormuz.
Menurut Perdana Menteri, keputusan awal Iran itu membolehkan kapal minyak Malaysia dan pekerjanya meneruskan perjalanan pulang.
“Saya ambil kesempatan juga ucapkan terima kasih kepada Presiden Iran (Masoud Pezeshkian), kerana awal memberi laluan dan sekarang kita dalam proses untuk melepaskan kapal minyak Malaysia dan pekerja yang terlibat supaya dapat meneruskan perjalanan mereka pulang,” katanya dalam Perutusan Khas mengenai langkah strategik menangani krisis tenaga berikutan perang di Asia Barat.
Anwar berkata, Malaysia turut terkesan berikutan peperangan di rantau itu dan kesan daripada penutupan Selat Hormuz.
Sementara itu, kira-kira 1,900 kapal komersil terkandas di Selat Hormuz, terutamanya di Teluk Parsi, sejak bermulanya serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Susulan permulaan serangan itu, Teheran bertindak menutup laluan air penting berkenaan kepada kapal yang mempunyai kaitan dengan negara penyerang, sekali gus menyebabkan trafik maritim di selat itu terhenti sepenuhnya.
Kapal di rantau berkenaan yang sedang bersiap sedia untuk melalui selat itu tidak dapat berbuat demikian berikutan ketegangan ketenteraan, dengan sebahagian besar kapal yang terkandas terpaksa melabuhkan sauh di perairan terbuka.