
Kebakaran hutan dan tanah gambut yang semakin memburuk di wilayah Riau dan Sumatera, memusnahkan ratusan hektar kawasan, ketika usaha pemadaman berdepan cabaran akibat cuaca panas terik dan angin kencang, lapor portal berita Riau Online.
Antara kawasan terjejas termasuk Pekanbaru, Bengkalis, Rokan Hulu, Rokan Hilir dan Pelalawan. Menurut data Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), sebanyak 1,208 titik panas direkodkan di seluruh Sumatera setakat 20 Julai, termasuk 586 titik panas di Riau sahaja.
Laporan penyiar tempatan Metro TV turut menyatakan bahawa jerebu tebal yang terhasil telah melintasi sempadan dan sampai ke beberapa bahagian di Malaysia.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) telah mengerahkan helikopter Bell 206 untuk rondaan udara, selain memindahkan helikopter pengebom air Mi-8MSB-T dari Palembang ke Riau.