Kapsul Rosak, Angkasawan China terperangkap di angkasa

Foto AFP. Angkasawaan China terperangkap di angkasa lepas

BEIJING: Kapsul pulang yang rosak kaibat dihentam serpihan sisa angkasa menyebabkan tiga angkasawan China terperangkap di Stesen Angkasa Tiangong, menurut kenyataan Agensi Angkasa China (CMSA).

Tiga angkasawan itu sepatutnya kembali ke bumi pada Rabu namun jadual kepulangan mereka ditangguhkan tanpa tempoh baru diumumkan setelah jurutera menjalankan penilaian terhadap tahap kerosakan serta risiko ke atas kapal angkasa berkenaan.

Menurut penyiar rasmi CCTV, tarikh pulang mereka kini ‘ditangguhkan tanpa had masa’ sementara siasatan diteruskan. CMSA percaya kapsul tersebut terkena serpihan kecil sisa angkasa, yang semakin menjadi ancaman kepada kapal di orbit rendah Bumi.

Setakat ini, agensi berkenaan belum mendedahkan sejauh mana kerosakan dialami atau sama ada pembaikan boleh dilakukan.

Sekiranya kapsul itu tidak dapat dibaiki, prosedur keselamatan menetapkan bahawa krew Shenzhou-20 akan menggunakan kapsul milik pasukan Shenzhou-21 untuk kembali ke bumi.

Misi Shenzhou-20 diketuai oleh Komander Chen Dong, bersama juruterbang tempur Chen Zhongrui dan jurutera Wang Jie. Mereka tiba di Stesen Angkasa Tiangong pada April 2025 untuk misi selama enam bulan yang hampir berakhir sebelum insiden berlaku.