Kapal Sumud Nusantara Diserang Dron

Foto FB Sumud Nusantara Official

KUALA LUMPUR: Sebuah kapal yang membawa peserta misi Sumud Nusantara dilaporkan diserang dron hingga menyebabkan kebakaran di Tunisia, dalam pelayaran menuju ke Gaza.

Namun, menurut Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, salah seorang peserta misi kemanusiaan itu, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Salah satu kapal laut kami diserang dron dan terbakar. Semua bertenang kerana tiada kemalangan jiwa,” maklum beliau menerusi akaun Instagram miliknya.

“Semua rakyat Malaysia selamat,” tambah PU Rahmat dalam kemas kini terbarunya yang turut berkongsi video kebakaran kapal.

PU Rahmat adalah antara 15 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran itu bermula 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.

Misi ini adalah sebahagian daripada Global Sumud Flotilla (GSF) yang menghimpunkan lebih 50 bot dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara, membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.

Konvoi itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, penyanyi Zizi Kirana serta pelakon Ardell Aryana.