
MADRID: Kapal perang Sepanyol dan Itali bergerak menuju kapal-kapal Sumud Flotila bagi melindungi aktivis dan sukarelawan yang membawa bantuan ke Gaza selepas serangan dron berhampiran perairan Greece.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, berkata konvoi kemanusiaan itu disertai rakyat dari 45 negara yang membawa makanan untuk penduduk Gaza serta menunjukkan solidariti terhadap penderitaan mereka.
“Kerajaan Sepanyol menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa mesti dihormati dan hak rakyat kami untuk belayar di Laut Mediterranean dalam keadaan selamat juga mesti dipelihara.
“Esok kami akan menghantar sebuah kapal tentera laut dari Cartagena dengan semua sumber yang diperlukan sekiranya perlu membantu flotila itu dan melaksanakan operasi menyelamat,” katanya di sidang media di New York, ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Itali juga menghantar sebuah frigat tentera laut untuk membantu GSF yang diserang dron, kata Menteri Pertahanan, Guido Crosetto, menurut agensi berita Itali, ANSA.
Crosetto berkata, beliau sudah memberi kebenaran bagi tindakan segera dengan mengarahkan frigat pelbagai guna Fasan, yang sedang belayar di utara Crete dalam operasi Mare Sicuro, untuk memberikan bantuan kepada rakyat Itali yang berada dalam flotila itu.
GSF menggunakan kira-kira 50 bot awam dalam usaha memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza.
Antara aktivis yang menyertainya ialah Greta Thunberg, pejuang iklim dari Sweden.