Kaabah Bercahaya Dari Angkasa Lepas

Foto Agensi

DHAKA: Satu Imej yang dirakam dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) memperlihatkan tapak paling suci umat Islam, iaitu Kaabah, bercahaya di tengah-tengah bandar raya Makkah.

Gambar menakjubkan yang diambil dari orbit itu,yang kini tular dalam talian, memaparkan Kaabah di Makkah bersinar seumpama titik bercahaya dari jarak 400 kilometer di atas Bumi, lapor United News of Bangladesh (UNB).

Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Don Pettit, yang baru sahaja kembali dari misi ISS beliau, memuat naik foto itu di laman X dengan kapsyen: “Pemandangan orbit Makkah, Arab Saudi. Titik terang di tengah ialah Kaabah, tapak paling suci Islam, kelihatan walaupun dari angkasa.”

Pettit, yang dikenali dengan pendekatan artistiknya terhadap imejan angkasa ketika tugasan keempatnya di stesen itu, merakam gambar berkenaan menggunakan kamera Nikon beresolusi tinggi menerusi tingkap kupola ISS.