Istana Solo Gempar, 2 Putera Berebut Takhta

Foto Media Sosial

JAKARTA: Istana Solo di Jawa Tengah tegang apabila dua beradik berlainan ibu berebut takhta, lapor The Straits Times.

Konfrontasi memuncak pada 18 Januari apabila Menteri Kebudayaan, Fadli Zon melawat istana untuk menyampaikan dekri kementerian yang melantik Putera Tedjowulan sebagai pemangku raja bagi pemeliharaan dan pemulihan Keraton Surakarta.

Difahamkan, Putera Tedjowulan menjadi pemangku raja sejak kematian abang sulungnya, Raja Pakubuwono XIII, pada November 2025, sementara menunggu pemasyhuran raja baru.

Menurut media sama, puak yang bersaing membawa tangga untuk memaksa membuka pintu istana, manakala penyokong kedua-dua pihak saling tolak-menolak sehingga polis terpaksa campur tangan bagi mengekalkan ketenteraman.

Acara itu berakhir tanpa penyerahan rasmi, mencerminkan perpecahan dalam istana.