Israel Terus Tegah Mufti Masuk Al-Aqsa

Pihak berkuasa Israel mengenakan larangan selama enam bulan terhadap Sheikh Muhammad Hussein, Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, daripada memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut Pentadbiran Baitulmaqdis yang memetik peguam Khaldoun Najm, keputusan itu dibuat selepas tamat tempoh larangan selama lapan hari sebelum ini.

Perintah terbaru itu dilapor dikeluarkan susulan khutbah Jumaat beliau baru-baru ini yang mengutuk dasar penindasan Israel termasuk didakwa sengaja menyebabkan kebuluran terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Pasukan keselamatan Israel telah memanggil pemimpin agama itu pada 27 Julai dan menyerahkan perintah pengusiran lapan hari dari Masjid Al-Aqsa, dengan kemungkinan lanjutan.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan terang-terangan untuk menyingkirkan pihak berkuasa agama daripada Al-Aqsa serta membungkam suara yang menentang perancangan IsraeL.