Israel Terus Cabul Gencatan Senjata

Foto AFP

GAZA: Tentera Israel terus menyerang Semenanjung Gaza meskipun gencatan senjata diumumkan, lapor agensi berita Palestin,WAFA.

Pelanggaran gencatan senjata berlaku apabila kereta kebal tentera pendudukan melepaskan tembakan meriam ke arah orang awam di bandar Bani Suhaila serta kawasan kejiranan Sheikh Nasser, di timur Khan Younis dan Kota Gaza.

Malam Selas, sumber perubatan melaporkan jumlah kematian akibat pencerobohan Israel sejak 7 Oktober 2023 telah meningkat kepada 67,913 orang, manakala 170,134 lagi cedera.

Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, 44 rakyat Palestin, termasuk 38 mayat yang baru ditemukan, serta 29 yang cedera telah dibawa ke hospital di wilayah itu.

Ribuan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan, manakala pasukan ambulans serta pertahanan awam tidak dapat sampai ke lokasi akibat kemusnahan yang teruk.