Israel Rancang Tawan Gaza

Foto AFP

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan terbaru rejim Zionis Israel untuk melancarkan pengambilalihan sepenuhnya Semenanjung Gaza secara ketenteraan, sambil menyeru semua negara menolak secara mutlak dasar aparteid Israel.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata langkah yang dirancang dan tidak berhati perut itu menunjukkan niat jelas rejim berkenaan untuk terus menduduki wilayah Palestin secara kekal, yang bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah memperlekeh prinsip asas hak asasi manusia dan keadilan.

“Selepas 22 bulan pengeboman tanpa henti, kepungan dan pemindahan paksa lebih 90 peratus penduduk Gaza, tindakan ini bertujuan menamatkan penyelesaian dua negara.

“Sekiranya Israel terus dibenarkan bertindak sewenang-wenangnya, segala proses damai akan terkubur dan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri akan sekali lagi dinafikan,” kata kenyataan itu.