Israel ceroboh, tawan 3 kapal GSF, sukarelawan Malaysia ditahan

Foto Reuters

GAZA: Kapal-kapal dalam misi Global Sumud Flotilla, antaranya Alma, Sirius dan Adara dilapor dipintas dan dinaiki oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa pada malam Rabu.

Alma dan Sirius membawa sukarelawan dari Malaysia. Kapal Alma disertai oleh Musa Alnuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil. Kapal Sirius pula membawa Haikal Abdullah, Muaz, Zulfadhli dan Rusydi.

Menurut kenyataan rasmi Global Sumud Flotilla, kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam 1 Oktober waktu Gaza (1.30 pagi 2 Oktober, waktu Malaysia). Mereka mendakwa pasukan Israel bertindak merosakkan sistem komunikasi kapal bagi menghalang isyarat kecemasan dan siaran langsung ketika pemintasan berlaku.

Organisasi itu memaklumkan komunikasi dengan beberapa kapal lain turut terputus dan usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti keadaan peserta serta anak kapal. Setakat ini, status mengenai penahanan, kecederaan atau korban masih belum disahkan.

“Kami sedang berusaha untuk mengesahkan kedudukan semua sukarelawan dan kru. Maklumat lanjut akan dikongsi sebaik sahaja diperoleh,” kata Global Sumud Flotilla dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Misi berkenaan menegaskan tindakan Israel adalah serangan tidak sah terhadap aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata di perairan antarabangsa. Mereka menyeru kerajaan, pemimpin dunia serta badan antarabangsa mendesak agar keselamatan dan pembebasan semua yang terlibat dijamin.

Walaupun sebahagian kapal dipintas, Global Sumud Flotilla menegaskan pelayaran mereka akan diteruskan. Armada itu kini berada kira-kira 70 batu nautika dari pantai Gaza dan kekal dengan matlamat asal.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa Israel pernah memintas beberapa flotilla yang menuju ke Gaza sejak 2010. Antara insiden paling mendapat perhatian ialah serangan terhadap kapal Mavi Marmara yang mengorbankan sembilan aktivis Turkiye. Sejak itu, pelbagai usaha antarabangsa menghantar bantuan ke Gaza melalui laut sering berdepan tindakan ketenteraan Israel — Airtimes.my