Iran lancar serangan peluru berpandu ke arah Israel

Foto Reuters

BAITULMAQDIS: Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel sebagai tindak balas kepada operasi tempur besar-besaran yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel.

Serangan udara itu memaksa ribuan penduduk Israel bergegas mencari perlindungan di bilik kebal dan ruang bawah tanah.

Jurucakap tentera Israel memaklumkan bahawa peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayah Iran dikenal pasti menuju ke arah Israel dan sistem pertahanan udara kini sedang dikerahkan sepenuhnya.

“Pada waktu ini, Pasukan Tentera Udara Israel (IAF) sedang beroperasi untuk memintas dan menyerang balas ancaman di mana sahaja yang perlu bagi menghapuskan bahaya.

“Sistem pertahanan kita tidaklah kebal sepenuhnya, oleh itu adalah sangat penting bagi orang awam untuk terus mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Setakat ini, belum ada laporan mengenai jumlah peluru berpandu yang berjaya melepasi ruang udara Israel atau sebarang kerosakan dan kehilangan nyawa yang dicatatkan di lapangan.