
TEHERAN: Rakyat Amerika Syarikat digesa mempersoalkan tujuan perang Washington terhadap Iran. Gesaan itu dibuat oleh Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dalam satu surat yang disiarkan oleh Press TV.
Beliau juga turut menegaskan Iran tidak pernah bertindak agresif.
“Dalam sejarah modennya, Iran tidak pernah memilih jalan pencerobohan, peluasan kuasa, penjajahan atau dominasi,” tulisnya dalam surat berkenaan.
Beliau berkata rakyat Iran tidak menyimpan permusuhan terhadap negara lain termasuk rakyat Amerika.
“Gambaran Iran sebagai ancaman adalah ‘hasil kehendak politik dan ekonomi pihak berkuasa’.
“Ini menimbulkan persoalan asas, kepentingan sebenar siapa dalam kalangan rakyat Amerika yang dipenuhi oleh perang ini?” katanya.
Beliau turut mendakwa Amerika bertindak bagi pihak Israel dalam konflik dengan Iran.
“Bukankah Amerika turut terbabit dalam pencerobohan ini sebagai proksi kepada Israel, dipengaruhi dan dimanipulasi oleh rejim itu?” katanya.